Owner Jelaskan Sebab Jual RXZ Millennium RM70,000!

Owner Jelaskan Sebab Jual RXZ Millennium RM70,000! Baru-baru ini video penjelasan mengenai Yamaha RXZ Millenium dijual berharga RM70,000 telah viral di media sosial  menarik ramai perhatian dan mengejutkan  netizen yang rata-ratanya menganggap harga RXZ 70,000 itu tidak masuk akal!

"Harga RM70,000 itu memang relevan bukan rekaan. Murah jika dibandingkan dengan kesukaran restore RXZ Millenium ikut spesifikasi asal. Saya juga membelanjakan lebih RM50,000 untuk membaik pulih RXZ itu dengan menukarkan pelbagai komponen baru dan asli." kata Tuan Putera Amirul Tuan Muda, 27.

Owner Jelaskan Sebab Jual RXZ Millennium RM70,000!

Putera Amirul yang juga mekanik berkata, dia membeli RXZ Millennium keluaran tahun 2000 itu daripada kenalan pada harga RM10,000 pada 2017.

"Semua komponen pada motosikal itu asli dan baru serta dihasilkan 100 peratus sama seperti motosikal Yamaha RXZ yang baru keluar dari kilang. Walaupun ia keluaran tahun 2000, RXZ Millennium menjadi antara model paling diminati dan sukar diperoleh," katanya ketika di rumahnya di Kampung Paka, hari ini.

Katanya, komponen asal paling mahal adalah 'COVERSET' yang berharga RM10,000 dibeli daripada pengumpul motosikal RXZ dari Kelantan. 


"Saya menjelajah ke bengkel alat ganti motosikal di seluruh Malaysia untuk mendapatkan pelbagai komponennya, dan sebahagiannya dibeli dari luar negara melalui laman e-bay. Komponen yang dibeli mesti menepati piawaian termasuk mempunyai tag, atau dengan kata lain, barang baru tetapi stok lama (NOS)," katanya.

Menurutnya, dia sengaja meletakkan harga tinggi bersesuaian dengan nilai motosikalnya supaya tiada sesiapa yang ingin membelinya. Tetapi sebaliknya peminat dan pengumpul RXZ tetap menawarkan harga tinggi untuk membelinya.

"Sebelum video motosikal itu viral di media sosial, ada peminat RXZ dari Johor menawarkan harga RM55,000 tetapi selepas viral di media sosial, seorang individu dari Kuala Berang Terenggannu ingin membelinya dengan harga RM65,000.

"Tetapi saya belum bersedia untuk menjualnya kerana masih sayangkannya. Selain itu, saya ingin menyertai Pertandingan Restore Original RXZ Millenium pada Program RXZ Members tahun hadapan," katanya.

Mengulas mengenai kecaman yang diterima selepas video Jual RXZ RM70K itu viral katanya, dia tidak kisah dan tidak menyalahkan netizen kerana menyifatkan harga motosikalnya itu tidak masuk akal.

"Nilai motosikal RXZ itu hanya diketahui ahli dan peminatnya RXZ itu sahaja, malah ia bukan digunakan untuk berkonvoi. Sebaliknya, khas untuk menyertai pertandingan 'Restore RXZ' yang dianjurkan dalam komuniti peminat dan pengumpul RXZ di seluruh negara.

"Sesiapa yang membelinya pasti akan menyimpannya sahaja dan jika bernasib baik boleh dijual dengan harga yang lebih tinggi pada masa akan datang," katanya yang pernah menjadi naib juara Pertandingan Restore Original RXZ Millenium pada Program RXZ Members 2019.

Sumber: HMetro

Related Posts

Load comments

Comments